.

Start Up

Cari satu masalah anda. Cari penyelesaian. Cari ramai orang yang mempunyai masalah yang sama. Sekarang anda sudah ada bisnes untuk dimulakan .

Tags:

 

Jika ada yang perasan, nama syarikat kami telah berubah dari Advanced Integrated Software Technologies kepada Art In Software Sdn Bhd. Lebih mudah disebut, lebih mudah dieja di cek Smile. Rekaan kad nama juga telah berubah, di atas merupakan rekaan awal. Akhirnya kami memilih Front 3 dan Back 1 untuk rekaan kad nama syarikat. Jawatan juga dibuang dari kad nama serta no telefon / faks kami telah diubah kepada 1 nombor 1700-80-AIST (2478) . Di harap perubahan ini akan membawa AIST ke arah yang lebih baik. Jika anda baca sebelum ini di artikel Memulakan Bisnes - Infrastruktur, kad nama merupakan imej pertama yang diberikan kepada pelanggan dan amat penting jika anda ingin memulakan perniagaan.

 

Komen blog juga telah dibuka semula dengan spam filter Akismet telah dipasang untuk mengelakkan spammer-spammer berkeliaran.

 

 

Saya baru pindah turun 3 siri majalah ini dan belum berkesempatan untuk membacanya. Tetapi usaha mereka patut dipuji, dengan era globalisasi memulakan perniagaan internet adalah cukup mudah. Tetapi bagaimana ? Pakar-pakar dalam bidang mereka seperti Adsense, directory, mailing list dan banyak lagi perniagaan internet yang terbukti dengan mereka semua mudah mendapatkan pendapatan lebih dari 5 angka sebulan.

 

Cemburu ? Cemburu yang positif boleh digunakan untuk anda juga mencapai kejayaan seperti mereka. Dengan pengguna internet yang semakin meningkat anda juga perlu mendapat sedikit dari perniagaan mereka. Dapatkan majalah mereka dengan sini.

Apakah elemen untuk syarikat yang berjaya ? Jika anda lihat syarikat-syarikat yang berjaya, mereka mempunyai ciri-ciri yang sama. Sequoia Capital merupakan syarikat venture capital (VC) yang berjaya melahirkan banyak syarikat-syarikat yang berjaya. Mereka telah berkongsi apakah ciri-ciri yang mereka ingin lihat dan ingin melabur di dalam syarikat tersebut. Antaranya ialah:

  1. Tujuan yang jelas
  2. Pasaran yang luas
  3. Pelanggan yang kaya
  4. Fokus
  5. Penyelesaian yang tepat
  6. Fikiran yang berbeza
  7. Pekerja yang cemerlang
  8. Pantas
  9. Jimat

Bukan semuanya tepat bagi saya, tetapi dengan pengalaman yang mereka ada, ciri-ciri ini mungkin tepat dan AIST perlu mempunyai ciri-ciri ini untuk menjadi syarikat yang berjaya. Untuk membaca lebih lanjut tentang ciri-ciri tersebut anda boleh pergi ke halaman ini.

 

Paul Graham merumuskan bahawa untuk memulakan bisnes dalam web menjadi semakin murah. Perkakasan sudah menjadi barang-barang komoditi yang dahulunya bernilai beribu-ribu ringgit. Saya juga mempunyai pendapat yang sama, untuk memulakan bisnes di dalam web sudah menjadi semakin murah dan perkara ini sudah semakin hampir berlaku di Malaysia.

 

Anda boleh membacanya di artikel tersebut di sini .

Dari artikel

  1. Memulakan Bisnes - Modal
  2. Memulakan Bisnes - Penubuhan Syarikat

Saya akan menulis tentang langkah ketiga dalam memulakan bisnes iaitu infrastruktur. Apakah definisi infrastruktur ? Infrakstruktur dalam bisnes yang saya akan ulas adalah

  • Ofis
  • Telefon / Internet
  • Perkakasan / Perisian
  • Kad Nama
  • Halaman web


Ofis

Anda sudah mengumpulkan modal, menubuhkan syarikat dan anda sudah menghantar notis berhenti kerja. Infrastruktur yang pertama anda perlukan adalah ofis. Bagi saya ofis adalah subjektif, dalam zaman teknologi ada orang mengatakan telefon bimbit adalah ofis mereka , ada juga mengatakan komputer riba adalah ofis mereka dan ada juga kontraktor yang mengatakan kereta merupakan ofis mereka.


Laptop Ofis

Perkara yang pertama bagi saya sebelum anda memulakan bisnes, laptop adalah aset terpenting yang anda mesti ada. Laptop adalah satu kewajipan. Untuk berjumpa klien di Coffee Beans anda perlukan laptop, melaksanakan projek anda perlukan laptop. Jadi laptop adalah satu infrastruktur asas sebelum anda memulakan bisnes anda. Laptop merupakan sejenis ofis jika anda memilih untuk bekerja secara berkelana. Anda boleh menjadikan rumah anda sebagai SOHO (Small Office, Home Office) . Kelebihan bekerja dalam bidang IT adalah anda akan berjumpa dengan klien bukan klien berjumpa dengan anda. Jika anda bekerja seorang , saya sarankan untuk anda bermula dengan Laptop Ofis.

Talian internet adalah aset penting dalam Laptop Ofis, jika anda selalu berkelana anda boleh mencari WIFI sebagai talian internet anda. Jika sukar mendapatkan WIFI ditempat anda, anda perlu mencari alternatif, GPRS, 3G adalah satu pilihan jika kawasan anda menyokong sambungan ini. Dengan bayaran GPRS/3G Unlimited yang semakin murah saya rasa tiada sebab untuk tidak menggunakan cara ini. Cara yang paling biasa adalah anda duduk di rumah dan menggunakan ADSL sebagai sambungan utama internet anda. Ini adalah satu cara kos efektif dan semua perkara di atas sepatutnya sudah wujud sebelum anda berhenti kerja untuk memulakan bisnes. Laptop pertama saya adalah satu laptop terpakai jenama Prestigio yang dibeli dari rakan.

 


Laptop Kedua Dell Inspiron 700M

Laptop ketiga Dell XPS M1210


Ofis Pertama

Perniagaan anda sudah berkembang, anda memerlukan bantuan, pekerja pertama anda selalu berada di rumah anda. Dokumen mula bersepah-sepah. Ketika ini anda akan terfikir untuk mencari ofis sebenar. Jadi perkara pertama anda akan mencari-cari tempat yang sesuai dengan bajet anda. Kriteria mencari ofis yang pertama saya adalah

  • Bajet
  • Internet
  • Keselamatan

Biasanya ofis pertama ini akan menggunakan masa idel anda untuk mencari lokasi yang sesuai. Jadi kebiasaannya anda akan mencari ofis yang dekat dengan rumah , yang murah dan kalau boleh sudah mempunyai talian internet sebelum anda masuk ke ofis. Kadang-kadang anda boleh juga menggunakan apartment lain sebagai ofis anda kerana harga sewa apartment lebih murah di kawasan-kawasan bandar besar. Ofis pertama saya adalah di Inkubator K-Ekonomi Melaka (masih lagi di sini, cuma berpindah ke kawasan lebih besar) . Dengan sewa yang berpatutan RM 400++ (200 sqft) + mempunyai WIFI percuma + Elektrik percuma. Saya bermula dengan 2 orang dalam ofis ini. Perabut pertama yang saya beli adalah meja IKEA berharga RM 120 dan juga kerusi murah juga berharga RM 120.


Ofis Pertama

Antara kesilapan pertama saya dalam membeli perabut adalah kerusi murah RM 120. Dalam masa 6 bulan, anda akan terasa bunyi-bunyian kerusi merupakan "features" yang dibekalkan bersama kerusi. Jika anda mampu, beli kerusi yang selesa sebab anda akan duduk dalam waktu yang lama di atasnya. Jika tidak, cuba cari kedai barang terpakai yang anda mungkin dapat mencari kerusi yang baik dan murah. Murah < 100. Saya telah membeli kerusi yang agak baik di IKEA dengan harga RM 320. Mahal, tetapi berbaloi.

 

Mungkin anda ada terbaca untuk berjimat bagi barangan ofis anda. Gunakan semua barangan terpakai, buat ofis di garaj (Malaysia tiada garaj biasanya) . Bagi saya, untuk perabut ofis, saya gunakan bajet kurang dari RM 1000. Saya berpendapat, ofis sepatutnya adalah satu tempat yang anda sepatutnya selesa untuk diduduki dan bukan anda perlu terseksa didalamnya. Rancang bajet anda dan jadikan ofis anda tempat yang selesa untuk anda duduk, oleh kerana untuk peringkat awal, anda mungkin akan duduk di dalamnya untuk masa yang lama .

Cuba cari di kawasan anda, tempat-tempat inkubator yang memberikan anda diskaun untuk peniaga-peniaga IT yang baru bermula. Ada banyak kebaikan jika anda menyewa di sini, antaranya adalah peluang berinteraksi dengan rakan-rakan IT anda dikawasan yang sama. Ini akan menambahkan jaringan perniagaan anda dan baik untuk perniagaan anda. Yang kedua, pihak kerajaan biasanya akan menumpukan usaha mereka di kawasan seperti inkubator untuk memberikan pinjaman, geran perniagaan dan anda akan menjadi orang yang pertama tahu jika ada bantuan seperti ini. Jika tidak, anda boleh berpindah ke Melaka untuk berbisnes bersama kami ;).

Ada juga rakan saya yang berkongsi ofis dengan syarikat lain. Ini adalah alternatif yang baik jika anda duduk di bandar besar dan ada ofis yang menyewakan ruangan pejabat mereka untuk menjimatkan kos.

 

Telefon / Internet
Masa idel anda akan terbuang di sini untuk mendaftar talian telefon di ofis pertama anda. Kekurangan menggunakan premis perniagaan adalah caj untuk talian telefon dan internet adalah lebih mahal. RM 45 /bulan untuk telefon dan RM 140++ untuk talian internet. Jika anda boleh berkongsi dengan orang lain, anda mungkin akan dapat menjimatkan kos talian telefon dan internet anda.

 

Perkakasan
Pencetak pertama yang saya beli adalah satu pencetak laser jet hitam putih. Ini adalah satu pilihan yang baik walaupun harga yang lebih mahal dari pencetak buble jet, tetapi kos berpanjangan seperti toner yang dapat mencetak dengan helaian yang banyak. Toner pertama saya bertahan hingga setahun dan kebanyakannya diperlukan untuk mencetak invois dan sebutharga.

Pengimbas adalah alatan yang kedua saya beli bersama pencetak kerana pengimbas boleh berfungsi seperti mesin fotostat, imbas dan cetak di pencetak. Sekarang sudah ada pencetak, pengimbas dan mesin faks disatukan dan mungkin boleh menjadi perkakasan pertama anda. Saya tiada pengalaman tentang ini, tapi mungkin sesiapa boleh memberikan nasihat tentang perkakasan ini.

 

Kad Nama
Perkara yang boleh dikategorikan antara yang terpenting dalam kategori infrastruktur. Jika sebelum ini kad nama anda tiada alamat ofis, sekarang anda sudah boleh letakkan alamat ofis , email (yang anda sudah beli semasa memilih nama syarikat anda ), alamat halaman web syarikat anda. Gunakan domain .com.my untuk menampakkan profesionalisme anda kerana hanya syarikat sahaja boleh mendaftar domain .com.my . Jika anda berbakat, gunakan font dan rekaan yang baik untuk kad nama anda, jika tidak cuba berjalan di shopping complex dan minta kad nama dari restoran, butik dan tiru idea rekaan mereka . Rekaan penting untuk kad nama anda bagi memudahkan pelanggan mengingati anda. Ada orang kata, pelanggan akan mengingati kita untuk kali yang kelima setelah menerima kad nama anda. Jadi, jika sudah membuat kad nama, berikan kepada pelanggan anda, jangan kedekut dan takut kad dibuang, takut bukan orang ini target pasaran anda. Kad nama patut disebarkan, kawan kepada kawan anda mungkin memberikan bisnes kepada anda, kawan kepada kawan kepada kawan anda juga mendapatkan bisnes untuk anda. Anda tidak akan tahu rezeki anda dimana.

 

Halaman web
Sebenarnya saya adalah antara orang yang terlambat membina halaman web. Tetapi halaman web adalah aset penting anda untuk perniagaan IT. Ia adalah satu pemasaran murah tetapi efektif. Jika anda dalam bidang IT, anda boleh membinanya sendiri sebelum anda berhenti kerja. Jika tidak, cuba upah rakan-rakan yang berbakat dalam bidang rekaan halaman web. Saya menggunakan khidmat Rohaizam dari Eleven Red Interactive untuk kebanyakan projek rekaan halaman web saya dan amat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Jika anda tiada masa untuk membina halaman web, paling kurang anda perlu membina satu blog dan memaparkan hasil kerja anda di sana. Komunikasi adalah aset penting untuk peniaga kecil seperti kita untuk memasarkan diri. Cuba kongsikan pengalaman anda, anda akan dianggap berjasa bagi klien-klien anda dan kemungkinan untuk anda mendapatkan projek akan datang bergantung kepada halaman web anda.

 

Perisian
Jika anda sudah biasa membeli perisian yang berharga RM 5 di Imbi, mungkin anda perlu berfikir semula ketika memulakan perniagaan. Yang paling asas, sistem operasi laptop / pc anda adalah asli. Yang kedua, pemproses dokumen seperti MS Office perlu asli. Jika tidak, pakai alternatif, Ubuntu Linux, Open Office adalah pilihan yang baik. Google Pack menyediakan perisian percuma seperti Star Office , Adobe Reader dan banyak alternatif jika anda berusaha mencarinya. Saya adalah peminat Dell kerana konsep perniagaannya dan harganya yang kompetitif. Kebiasaanya pembelian laptop/pc Dell akan memberikan sistem operasi Windows yang asli. Sokongan perkakasan Dell juga lebih berpusat dengan nombor sokongan yang mudah. Pembelian juga boleh dilakukan secara dalam talian. Pilihan adalah ditangan anda.

 

Dari artikel pertama ( Memulakan Bisnes - Modal ), saya akan meneruskan artikel yang kedua berkenaan penubuhan syarikat. Waktu bilakah sesuai untuk anda menubuhkan syarikat ?

  1. Setelah mendapat projek pertama.
  2. Setelah berhenti kerja.
  3. Sebelum berhenti kerja.

Bisnes adalah berbeza dengan peringkat pertama iaitu mengumpulkan modal. Apabila anda dalam peringkat mengumpulkan modal, anda masih mempunyai pelapik iaitu kerja tetap anda. Apa-apa urusan pemasaran, penghantaran, mesyuarat semuanya ditanggung oleh kerja tetap anda. Pada waktu lapang, anda boleh melaksanakan projek anda. Apabila anda memulakan bisnes, semua pemasaran, penghantaran, mesyuarat ditanggung oleh anda sendiri. Masa ini dipanggil masa idel (tidak bergerak) dan dalam konsep idel, anda tidak menjana pendapatan ketika anda memasar, menghantar, bermesyuarat. Cuba bayangkan anda memasarkan servis anda selama sebulan, jika tiada klien tiada pelapik selain dari modal yang anda kumpulkan pada peringkat pertama.

 

Apa yang saya ingin terangkan ialah, semasa anda berhenti kerja, semua masa idel hendaklah dikurangkan. Anda sudah menubuhkan syarikat, membuat akaun bank, membuat halaman web anda dan dalam masa bekerja sekarang anda sudah memasarkan servis, produk anda. Saya menasihatkan anda mengurangkan semua masa idel adalah kerana projek pertama anda, klien kebiasaanya akan meminta akaun syarikat untuk dibayar cek. Menyebabkan anda kelam kabut untuk menyiapkan projek anda, mendaftarkan syarikat anda, mendaftar akaun semasa di bank. Semuanya perlu dibuat dalam masa yang serentak.

 

1. Pemilihan Nama Syarikat
Advanced Integrated Software Technologies. Syarikat yang mempunyai nama terpanjang di dunia selepas North East West South Aquarium ;) . Jadi apakah kriteria untuk memilih nama syarikat anda ? Perkara pertama bagi syarikat IT / Perisian ialah menggunakan http://whois.mynic.net.my (untuk domain Malaysia) atau http://rocker.zenpipe.com (untuk domain antarabangsa) . Kemudian fikirkan apakah nama yang anda ingin gunakan sebagai nama syarikat anda. Saya terdiri dari orang yang membuat kesilapan, iaitu mendaftar syarikat semasa projek pertama berjalan, jadi apa yang penting bagi saya ialah mencari jika domain aist.com.my wujud. Ini adalah penting untuk syarikat Malaysia mempunyai domain .com.my dan .com adalah keutamaan kedua. Ada orang kata semuanya pada nama, ada yang cakap apa ada pada nama , bagi saya pilih satu nama yang anda rasa menggambarkan syarikat anda pada awal-awal penubuhan. Jangan memilih nama seperti Indah Waja , Kajang Berlipat, Ratatoei, cuba jadikan nama syarikat sebagai penerangan syarikat anda. Selepas anda berjaya, anda boleh tukar nama kepada yang lebih pendek, glamor (a.k.a penjenamaan semula )

 

Telekom Malaysia -> TM
Malayan Banking -> Maybank
International Business Machine -> IBM

 

Jika anda ingin untuk menggunakan nama yang anda gemari tambahkan hujungnya dengan penerangan syarikat. Amran Software , Ainee Business Consultant. Contoh yang terbaik, Virgin Music , Virgin Atlantic. Satu ayat catchy, satu penerangan bisnes anda. Cuba senaraikan nama-nama yang anda inginkan dan buat pilihan.

Cuba lihat beberapa rujukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk panduan pemilihan nama.

 

2. Pendaftaran Perniagaan
Ada beberapa jenis syarikat yang boleh anda daftarkan

  • Pemilikan Tunggal
  • Perkongsian
  • Syarikat Sendirian
  • Syarikat Berhad

Ada jenis lain yang saya tidak sentuh , iaitu koperasi. Kepada yang belum tahu saya terangkan serba sedikit . Pemilikan tunggal dan Perkongsian merupakan konsep perniagaan yang paling mudah. Dengan kos serendah RM 30 anda sudah boleh mendaftarkan perniagaan anda. Satu tempat sahaja yang perlu didaftarkan iaitu SSM. Kebiasaannya syarikat adalah anda dan anda adalah syarikat. Jika anda bangkrup, syarikat bangkrup, jika perniagaan anda membayar cukai pendapatan, anda tidak perlu lagi membayarnya. Anda boleh menggunakan alamat rumah untuk pendaftaran syarikat pemilikan tunggal / perkongsian.

 

Untuk pendaftaran Syarikat Sdn Bhd, pendaftaran agak kompleks berbanding dengan pemilikan tunggal. Mengikut undang-undang Syarikat Sdn Bhd diiktiraf tanggungjawab seperti seorang manusia. Syarikat perlu membayar cukai pendapatan yang berasingan. Jika syarikat bankrup, anda tidak akan terlibat. Ahli minima dalam syarikat Sdn Bhd adalah 2 dan maksimum adalah 50. Oleh kerana sifat-sifat seperti ini, kos terendah yang saya tahu adalah dalam RM 1300-2000 untuk pendaftaran syarikat jenis ini.

 

Syarikat Berhad lebih kurang sama dengan Sdn Bhd kecuali jika anda ingin menambah ahli syarikat lebih dari 50 orang.

Untuk maklumat lanjut tentang kedua-dua jenis syarikat Sdn Bhd dan Berhad anda boleh lawati http://ms.wikipedia.org/wiki/Pendaftaran_syarikat_di_Malaysia .

Persoalannya , perniagaan jenis apa yang anda perlu daftarkan ? Pemilikan tunggal, perkongsian, Sdn Bhd, Bhd ? Nasihat saya bagi peniaga jenis seperti saya (tiada duit dan tiada pengalaman) daftarlah pemilikan tunggal atau perkongsian , jika anda ada rakan kongsi. Selain murah, urusan pemilikan tunggal sangat mudah. Anda adalah syarikat dan syarikat adalah anda.

 

3. Akaun Semasa
Akaun semasa adalah satu lagi proses yang penting dalam penubuhan syarikat. Pembayaran projek anda memerlukan nama syarikat dan cek yang diberikan perlu dimasukkan ke dalam bank untuk menerima pembayaran anda. Proses pendaftaran akaun semasa tidak semudah pendaftaran akaun simpanan, anda secara kasarnya memerlukan

 

  • Introducer (syarikat lain yang sudah mempunyai akaun di bank tersebut , memperkenalkan syarikat anda kepada bank)
  • Deposit Awal (berbeza antara bank , dalam lingkungan RM 500 - 2000 .
  • Cop syarikat

 

Mengikut pengalaman bank yang saya tahu

  • Maybank - Introducer (wajib), Deposit awal (RM 2000)
  • CIMB - Introducer (wajib), Deposit awal (RM 1000)
  • Ambank - Introducer (wajib, jika tiada pengurus bank boleh meluluskan ), Deposit awal (RM 500)

Kesemua bank di atas menawarkan online banking untuk memudahkan proses transaksi. Jika anda memenuhi syarat-syarat di atas dan mempunyai modal yang agak besar, saya sarankan mendaftar di Maybank oleh kerana liputan transaksi pengguna online yang besar. Jadi mudah untuk anda menghantar atau menerima duit. Perpindahan duit antara bank memerlukan kos RM 2. Pilih sebaiknya. Deposit awal boleh dikeluarkan setelah proses pendaftaran selesai (lebih kurang 2 minggu bagi Maybank) .

 

Selepas pendaftaran anda akan diberikan satu buku cek yang mungkin jarang digunakan jika anda menggunakan online banking. Proses pendaftaran online banking adalah berasingan dengan pendaftaran akaun semasa. Jadi proses-proses ini bagi saya memang leceh dan memakan masa. Cuba bayangkan anda perlu menyelesaikan semua ini dengan projek perlu dihantar dalam masa sebulan. Jika perkara ini semua sudah diselesaikan sebelum anda berhenti kerja dan bermula untuk berniaga. Syarikat Sdn Bhd kebiasaanya tidak dibekalkan dengan online bankin atau dibekalkan dengan kos yang agak tinggi.

 

Jadi dengan 3 perkara di atas, anda sudah boleh mula berniaga dengan lebih tenang dan tersusun.

 

 

 

Ada orang mengatakan, apabila saya ada satu epal dan anda ada satu epal, apabila anda berikan satu epal kepada saya dan kita bertukar epal, anda masih ada satu epal dan saya ada satu epal. Tetapi apabila saya berikan anda satu ilmu dan anda berikan saya satu ilmu, saya ada dua ilmu, anda ada dua ilmu.

Jadi dengan idea ini saya ingin berkongsi, bagaimana untuk memulakan perniagaan. Dari segi konsep saya bukanlah pakar, saya belum lagi berjaya seperti usahawan yang lain. Tetapi saya ingin berkongsi perjalanan, kesilapan yang saya lalui untuk dijadikan iktibar oleh orang lain.

Kebanyakan orang akan bertanya saya, macam mana saya kumpul modal untuk memulakan perniagaan. Di sini saya ingin berkongsi cara-cara yang anda boleh mulakan untuk memulakan perniagaan anda. Ada pelbagai cara yang boleh anda gunakan untuk memulakan perniagaan.

1. Projek
Ini adalah antara cara saya mengumpulkan modal untuk memulakan perniagaan. Saya banyak belajar cara-cara berhadapan dengan pelanggan dengan cara freelance. Kebanyakan projek-projek yang dijalankan adalah kecil, kerana waktu yang terhad. Antara kesilapan saya semasa menerima projek freelance adalah menerima projek yang memerlukan fokus yang besar. Pelanggan memerlukan laporan setiap hari menyebabkan saya kadang-kadang tidak dapat menumpukan fokus kepada pekerjaan biasa dan juga projek freelance saya. Nasihat saya adalah, cuba dapatkan projek yang kecil tapi pulangan yang besar. Jangan tamak. Projek yang berharga RM 200 tapi boleh dilaksanakan dalam masa seminggu lebih baik dari projek yang berharga RM 1000 tapi memerlukan 2 bulan untuk melaksanakannya.

 

2. Konsultasi
Jika anda mempunyai kepakaran dalam satu kategori, e.g PHP. Ada syarikat lain yang boleh mengupah anda bergantung kepada kepakaran anda. Sebagai contoh mengaudit kod, menyelesaikan masalah kod PHP untuk hubungan ke Oracle, masalah perisian PHP anda yang perlahan, pemasangan perisian ke pelayan. Kadang kala konsultansi boleh mendatangkan pulangan yang lumayan.

 

3. Latihan
Mengendalikan latihan PHP, MySQL, Oracle membolehkan anda memperolehi pendapatan yang dinilai secara jam (besar) . Jika anda boleh menilaikan diri anda RM 100 / jam . 1 hari x 8 jam x 100 == RM 800 jam. Saya gemar memfokuskan terhadap projek seperti ini kerana kurang sokongan yang diperlukan selepas latihan yang dijalankan. Ada beberapa kelebihan apabila anda mengajar kepada orang lain

  • Penyampaian anda akan menambah keyakinan anda untuk berhadapan dengan orang lain
  • Kredibiliti anda akan dipandang tinggi oleh peserta-peserta.
  • Peserta yang datang pada latihan berkemungkinan akan memberikan anda perkara 1 (Projek) kepada anda.

 

4. Pinjaman / Kredit Kad
Ini adalah salah satu cara untuk anda mendapat modal. Cara yang berisiko tinggi, tetapi mudah. Jika anda mempunyai gaji dalam linkungan RM 2000-3000 , anda boleh mendapatkan kad kredit dengan had RM 4000-6000 . Ataupun pinjaman pantas kebiasaannya boleh mendapatkan anda pinjam sehingga 3 kali gaji anda atau maksimum RM 100,000. Anda boleh rujuk halaman-halaman web bank-bank yang menawarkan ciri-ciri ini. Salah satu tindakan saya yang betul ialah mengambil kredit kad sebelum saya berhenti kerja. Untuk mendapatkan kredit kad apabila anda memulakan perniagaan sendiri (a.k.a tiada kerja) adalah sukar. Kebiasaan bagi pihak bank, memerlukan slip gaji, KWSP slip atau jika anda bekerja sendiri ialah cukai pendapatan anda.

Saya tidak mencadangkan anda membuat pinjaman dari ahli keluarga jika anda tidak yakin anda boleh membayarnya pada masa yang dijanjikan. Isu duit adalah sensitif walaupun anda adalah saudara.

 

5. Geran
Geran adalah salah satu cara yang saya tidak tahu dari awal. Jika tidak saya mesti menggunakan kelebihan ini dari awal. Geran adalah salah satu cara yang mudah untuk anda perolehi modal awal anda. Kerajaan sudah memberikan beberapa peruntukan untuk syarikat-syarikat di Malaysia untuk berkembang dan juga membangunkan produk.Anda boleh lawati halaman web MSC di http://www.msc.com.my/business/grants.html untuk melihat senarai-senarai geran yang ada ditawarkan di Malaysia. Ada beberapa masalah jika anda tiada mempunyai syarikat sini sendiri untuk memohon, tetapi masih ada beberapa peluang Cradle, MSC Technopreneur Pre Seed Fund memberikan peluang kepada individu yang mempunyai idea yang baik untuk mendapatkan geran. Syarikat kami telah mendapat satu geran dari MOSTI Innovation fund untuk membangunkan satu projek yang belum dapat diberitahu di sini.

 

6. Perkongsian
Ini adalah salah satu cara yang anda boleh gunakan jika anda mempunyai pelabur persendirian yang mempunyai modal tetapi tidak mempunyai skil untuk mereliasisasikan idea mereka. Anda boleh membuat satu syarikat perkonsian bergantung kepada perbincangan dengan pelabur. Peratus pegangan saham dalam syarikat bergantung kepada diskusi anda. Cara ini kebiasaannya pelabur tersebut mempunyai hubungan yang luas (politik) untuk memasarkan produk yang akan dibangunkan.

 

 

Apa yang dibincangkan di sini kebanyakannya cara awal sebelum anda memulakan perniagaan. Kebanyakannya memerlukan duit awal. Satu lagi faktor umur dan risiko juga memainkan peranan untuk anda memulakan perniagaan. Jika anda tiada tanggungan , kereta, rumah, anak, isteri. Peratus untuk anda memulakan perniagaan adalah lebih tinggi kerana risiko yang anda tanggung adalah rendah. Kebanyakan pelajar lepasan universiti adalah calon yang sesuai untuk memulakan perniagaan. Tiada hutang perlu kecuali pinjaman pelajaran. Anda boleh jatuh dan bangun lebih banyak sebelum berjaya lebih awal.

Untuk orang yang lebih tinggi umurnya dan juga berumah tangga mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi. Jika isteri anda bekerja, anda boleh menggunakan isteri anda sebagai pelapik jika modal yang anda kumpul dari perkara 1-6 sudah habis. Anda boleh gunakan perkara 5 (geran) untuk mendapatkan modal. Faktor umur juga memungkinkan pengalaman anda meyakinkan jawatan kuasa geran tersebut memilih anda.