Dari artikel
- Memulakan Bisnes - Modal
- Memulakan Bisnes - Penubuhan Syarikat
Saya akan menulis tentang langkah ketiga dalam memulakan bisnes iaitu infrastruktur. Apakah definisi infrastruktur ? Infrakstruktur dalam bisnes yang saya akan ulas adalah
- Ofis
- Telefon / Internet
- Perkakasan / Perisian
- Kad Nama
- Halaman web
Ofis
Anda sudah mengumpulkan modal, menubuhkan syarikat dan anda sudah menghantar notis berhenti kerja. Infrastruktur yang pertama anda perlukan adalah ofis. Bagi saya ofis adalah subjektif, dalam zaman teknologi ada orang mengatakan telefon bimbit adalah ofis mereka , ada juga mengatakan komputer riba adalah ofis mereka dan ada juga kontraktor yang mengatakan kereta merupakan ofis mereka.
Laptop Ofis
Perkara yang pertama bagi saya sebelum anda memulakan bisnes, laptop adalah aset terpenting yang anda mesti ada. Laptop adalah satu kewajipan. Untuk berjumpa klien di Coffee Beans anda perlukan laptop, melaksanakan projek anda perlukan laptop. Jadi laptop adalah satu infrastruktur asas sebelum anda memulakan bisnes anda. Laptop merupakan sejenis ofis jika anda memilih untuk bekerja secara berkelana. Anda boleh menjadikan rumah anda sebagai SOHO (Small Office, Home Office) . Kelebihan bekerja dalam bidang IT adalah anda akan berjumpa dengan klien bukan klien berjumpa dengan anda. Jika anda bekerja seorang , saya sarankan untuk anda bermula dengan Laptop Ofis.
Talian internet adalah aset penting dalam Laptop Ofis, jika anda selalu berkelana anda boleh mencari WIFI sebagai talian internet anda. Jika sukar mendapatkan WIFI ditempat anda, anda perlu mencari alternatif, GPRS, 3G adalah satu pilihan jika kawasan anda menyokong sambungan ini. Dengan bayaran GPRS/3G Unlimited yang semakin murah saya rasa tiada sebab untuk tidak menggunakan cara ini. Cara yang paling biasa adalah anda duduk di rumah dan menggunakan ADSL sebagai sambungan utama internet anda. Ini adalah satu cara kos efektif dan semua perkara di atas sepatutnya sudah wujud sebelum anda berhenti kerja untuk memulakan bisnes. Laptop pertama saya adalah satu laptop terpakai jenama Prestigio yang dibeli dari rakan.
Laptop Kedua Dell Inspiron 700M
Laptop ketiga Dell XPS M1210
Ofis Pertama
Perniagaan anda sudah berkembang, anda memerlukan bantuan, pekerja pertama anda selalu berada di rumah anda. Dokumen mula bersepah-sepah. Ketika ini anda akan terfikir untuk mencari ofis sebenar. Jadi perkara pertama anda akan mencari-cari tempat yang sesuai dengan bajet anda. Kriteria mencari ofis yang pertama saya adalah
- Bajet
- Internet
- Keselamatan
Biasanya ofis pertama ini akan menggunakan masa idel anda untuk mencari lokasi yang sesuai. Jadi kebiasaannya anda akan mencari ofis yang dekat dengan rumah , yang murah dan kalau boleh sudah mempunyai talian internet sebelum anda masuk ke ofis. Kadang-kadang anda boleh juga menggunakan apartment lain sebagai ofis anda kerana harga sewa apartment lebih murah di kawasan-kawasan bandar besar. Ofis pertama saya adalah di Inkubator K-Ekonomi Melaka (masih lagi di sini, cuma berpindah ke kawasan lebih besar) . Dengan sewa yang berpatutan RM 400++ (200 sqft) + mempunyai WIFI percuma + Elektrik percuma. Saya bermula dengan 2 orang dalam ofis ini. Perabut pertama yang saya beli adalah meja IKEA berharga RM 120 dan juga kerusi murah juga berharga RM 120.
Ofis Pertama
Antara kesilapan pertama saya dalam membeli perabut adalah kerusi murah RM 120. Dalam masa 6 bulan, anda akan terasa bunyi-bunyian kerusi merupakan "features" yang dibekalkan bersama kerusi. Jika anda mampu, beli kerusi yang selesa sebab anda akan duduk dalam waktu yang lama di atasnya. Jika tidak, cuba cari kedai barang terpakai yang anda mungkin dapat mencari kerusi yang baik dan murah. Murah < 100. Saya telah membeli kerusi yang agak baik di IKEA dengan harga RM 320. Mahal, tetapi berbaloi.
Mungkin anda ada terbaca untuk berjimat bagi barangan ofis anda. Gunakan semua barangan terpakai, buat ofis di garaj (Malaysia tiada garaj biasanya) . Bagi saya, untuk perabut ofis, saya gunakan bajet kurang dari RM 1000. Saya berpendapat, ofis sepatutnya adalah satu tempat yang anda sepatutnya selesa untuk diduduki dan bukan anda perlu terseksa didalamnya. Rancang bajet anda dan jadikan ofis anda tempat yang selesa untuk anda duduk, oleh kerana untuk peringkat awal, anda mungkin akan duduk di dalamnya untuk masa yang lama .
Cuba cari di kawasan anda, tempat-tempat inkubator yang memberikan anda diskaun untuk peniaga-peniaga IT yang baru bermula. Ada banyak kebaikan jika anda menyewa di sini, antaranya adalah peluang berinteraksi dengan rakan-rakan IT anda dikawasan yang sama. Ini akan menambahkan jaringan perniagaan anda dan baik untuk perniagaan anda. Yang kedua, pihak kerajaan biasanya akan menumpukan usaha mereka di kawasan seperti inkubator untuk memberikan pinjaman, geran perniagaan dan anda akan menjadi orang yang pertama tahu jika ada bantuan seperti ini. Jika tidak, anda boleh berpindah ke Melaka untuk berbisnes bersama kami ;).
Ada juga rakan saya yang berkongsi ofis dengan syarikat lain. Ini adalah alternatif yang baik jika anda duduk di bandar besar dan ada ofis yang menyewakan ruangan pejabat mereka untuk menjimatkan kos.
Telefon / Internet
Masa idel anda akan terbuang di sini untuk mendaftar talian telefon di ofis pertama anda. Kekurangan menggunakan premis perniagaan adalah caj untuk talian telefon dan internet adalah lebih mahal. RM 45 /bulan untuk telefon dan RM 140++ untuk talian internet. Jika anda boleh berkongsi dengan orang lain, anda mungkin akan dapat menjimatkan kos talian telefon dan internet anda.
Perkakasan
Pencetak pertama yang saya beli adalah satu pencetak laser jet hitam putih. Ini adalah satu pilihan yang baik walaupun harga yang lebih mahal dari pencetak buble jet, tetapi kos berpanjangan seperti toner yang dapat mencetak dengan helaian yang banyak. Toner pertama saya bertahan hingga setahun dan kebanyakannya diperlukan untuk mencetak invois dan sebutharga.
Pengimbas adalah alatan yang kedua saya beli bersama pencetak kerana pengimbas boleh berfungsi seperti mesin fotostat, imbas dan cetak di pencetak. Sekarang sudah ada pencetak, pengimbas dan mesin faks disatukan dan mungkin boleh menjadi perkakasan pertama anda. Saya tiada pengalaman tentang ini, tapi mungkin sesiapa boleh memberikan nasihat tentang perkakasan ini.
Kad Nama
Perkara yang boleh dikategorikan antara yang terpenting dalam kategori infrastruktur. Jika sebelum ini kad nama anda tiada alamat ofis, sekarang anda sudah boleh letakkan alamat ofis , email (yang anda sudah beli semasa memilih nama syarikat anda ), alamat halaman web syarikat anda. Gunakan domain .com.my untuk menampakkan profesionalisme anda kerana hanya syarikat sahaja boleh mendaftar domain .com.my . Jika anda berbakat, gunakan font dan rekaan yang baik untuk kad nama anda, jika tidak cuba berjalan di shopping complex dan minta kad nama dari restoran, butik dan tiru idea rekaan mereka . Rekaan penting untuk kad nama anda bagi memudahkan pelanggan mengingati anda. Ada orang kata, pelanggan akan mengingati kita untuk kali yang kelima setelah menerima kad nama anda. Jadi, jika sudah membuat kad nama, berikan kepada pelanggan anda, jangan kedekut dan takut kad dibuang, takut bukan orang ini target pasaran anda. Kad nama patut disebarkan, kawan kepada kawan anda mungkin memberikan bisnes kepada anda, kawan kepada kawan kepada kawan anda juga mendapatkan bisnes untuk anda. Anda tidak akan tahu rezeki anda dimana.
Halaman web
Sebenarnya saya adalah antara orang yang terlambat membina halaman web. Tetapi halaman web adalah aset penting anda untuk perniagaan IT. Ia adalah satu pemasaran murah tetapi efektif. Jika anda dalam bidang IT, anda boleh membinanya sendiri sebelum anda berhenti kerja. Jika tidak, cuba upah rakan-rakan yang berbakat dalam bidang rekaan halaman web. Saya menggunakan khidmat Rohaizam dari Eleven Red Interactive untuk kebanyakan projek rekaan halaman web saya dan amat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Jika anda tiada masa untuk membina halaman web, paling kurang anda perlu membina satu blog dan memaparkan hasil kerja anda di sana. Komunikasi adalah aset penting untuk peniaga kecil seperti kita untuk memasarkan diri. Cuba kongsikan pengalaman anda, anda akan dianggap berjasa bagi klien-klien anda dan kemungkinan untuk anda mendapatkan projek akan datang bergantung kepada halaman web anda.
Perisian
Jika anda sudah biasa membeli perisian yang berharga RM 5 di Imbi, mungkin anda perlu berfikir semula ketika memulakan perniagaan. Yang paling asas, sistem operasi laptop / pc anda adalah asli. Yang kedua, pemproses dokumen seperti MS Office perlu asli. Jika tidak, pakai alternatif, Ubuntu Linux, Open Office adalah pilihan yang baik. Google Pack menyediakan perisian percuma seperti Star Office , Adobe Reader dan banyak alternatif jika anda berusaha mencarinya. Saya adalah peminat Dell kerana konsep perniagaannya dan harganya yang kompetitif. Kebiasaanya pembelian laptop/pc Dell akan memberikan sistem operasi Windows yang asli. Sokongan perkakasan Dell juga lebih berpusat dengan nombor sokongan yang mudah. Pembelian juga boleh dilakukan secara dalam talian. Pilihan adalah ditangan anda.
Post new comment